Sunday 10 July 2011

Pandangan Peribadi Tentang Perhimpunan Bersih 2.0 Tanpa Menyebelahi Mana-mana Pihak

Penulisan ini adalah mengenai bagaimana fenomena demonstrasi yang sering kali dilakukan oleh rakyat di beberapa negara pada hari ini bukan sahaja seperti yang terjadi di Malaysia pada 9 Julai 2011, malah juga turut terjadi di negara-negara Timur Tengah yang dikenali sebagai negara Islam sehingga menjatuhkan pemerintahan negara mereka. Karangan ini akan mengupas bagaimana senario demonstrasi BERSIH 2.0 di Kuala Lumpur terjadi ekoran daripada hak kebebasan ruang awam yang dimiliki oleh rakyat seperti yang tertakluk dalam Perlembagaan Malaysia, Perkara 10 fasal (2), (3) dan (4).
Perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011 telah dipengerusikan oleh Bekas Presiden Majlis Peguam, seorang wanita Hindu  yang bernama Datuk Ambiga Sreenevasan . Dalam penulisan ini, konsep hegemoni dan ruang awam digunakan untuk menerangkan tentang perhimpunan tersebut beserta dengan teori dan penganalisisan proses terjadinya demonstrasi BERSIH 2.0. Demonstrasi ini terjadi ekoran daripada konflik politik yang tidak menemui penyelesaian sehingga ke hari ini sehingga membangkitkan aktivisma masyarakat di Malaysia untuk mempengaruhi dasar-dasar kerajaan.
Perhimpunan BERSIH 2.0 merupakan gabungan 63 Badan-badan Bukan Kerajaan  (NGO) yang mempunyai kepentingan dalam mempromosikan demokrasi dan pilihanraya yang bebas serta adil di Malaysia. 8 tuntutan Bersih 2.0 yang disenaraikan adalah bersihkan  senarai undi, menreformasi undi pos, guna dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.
Pemuda UMNO yang berhimpun atas nama Patriot juga hakikatnya merupakan kumpulan rakyat yang sama dengan kelompok BERSIH 2.0 dimana kedua-duanya dinafikan hak untuk berhimpun secara aman. Pemuda UMNO berani menyuarakan hak walaupun  tidak senada dengan kelompok pakatan rakyat, tetapi hak yang diperjuangkan adalah tetap sama. Berdasarkan kepada Perkara 10, tertakluk kepada fasal (2), (3) dan (4) tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara, berhak untuk berhimpun secara aman tanpa senjata dan berhak membentuk persatuan. Namun, Parlimen hanya boleh mengenakan tindakan undang-undang terhadap apa-apa sekatan yang didapati perlu demi keselamatan negara.

Hegemoni Dalam Sistem Politik
            Hegemoni bermaksud memimpin yang dikaitkan dengan sistem kekuasaan dan dominasi politik yang diselitkan unsur kepimpinan melalui persetujuan sesuatu kelompok. Teori Hegemoni merupakan cetusan idea Anthony Gramsci sebagai alternatif kepada teori marxisme tradisional yang diperkembangkan dengan hubungan antara kelas-kelas sosial untuk menjelaskan kekuasaan politik.
            Hegemoni merupakan penjajahan minda masyarakat secara lembut tanpa kekerasan dalam bentuk bermoral dan intelektual untuk mendapatkan sokongan majoriti demi mendapatkan kekuasaan atau mempertahankan kekuasaan yang telah dimiliki. Kekuatan ekonomi, kerakyatan, intelektual, moral, pensejarahan dan watak kekuasaan sangat mempengaruhi kuantiti kelas yang dihegemonikan dalam sesebuah kelompok.
            Suatu kelas akan menilai kelas atasan yang dipilih adalah mempunyai kekuatan sosial dan akan memberikan kepentingan kepada semua rakyat demi mempertahankan kepimpinan nasional yang memperjuangkan tuntutan rakyat melalui pelbagai penyatuan dan kekuatan sosial yang berbeza. Konsep hegemoni mengandungi usaha-usaha untuk membina perubahan sosial secara radikal dan revolusi. Antara peralatan hegemoni adalah seperti media massa, sekolah, masjid dan kempen pilihan raya yang dimanfaatkan untuk mensosialisasikan rakyat dan mempertahankan ideologi pihak kepimpinan dengan membentuk keinginan, nilai dan harapan.
            Oleh yang demikian, peranan golongan intelektual sangat penting dalam hegemoni untuk memberikan kesedaran dan mengembangkan  semangat perjuangan sesuatu kelas terhadap pentadbiran dan kepimpinan sesebuah negara.

Konsep Ruang Awam (Public Sphere)
            Ruang awam yang dibawa oleh Jurgen Habermas merujuk kepada ruang kebebasan yang dimiliki oleh pelbagai lapisan masyarakat untuk membincangkan isu-isu berkepentingan dengan rasional secara sukarela bagi mempengaruhi dasar-dasar kerajaan. . Ruang awam ini mampu menjadi penyelamat dalam masyarakat yang kompleks pada hari ini dalam pembentukan rasa kekitaan yang dipengaruhi oleh ekonomi, budaya, sejarah dan politik.
            Kedudukan masyarakat yang semakin kompleks menyemarakkan lagi krisis ruang awam dengan persentuhan kebudayaan melalui ledakan teknologi maklumat dan komunikasi tanpa batasan dengan negara-negara luar. Ekoran daripada itu, masyarakat lebih pintar dalam menilai sesuatu pemerintahan dan permasalahan negara dan menjadikan ruang awam sebagai peluang untuk mereka mendapatkan kebebasan untuk bersuara.
Semakin bertambah kuantiti masyarakat, semakin luas skala budayanya dan semakin sukar untuk mendapatkan keputusan dan persetujuan bersama kerana masyarakat masing-masing mempunyai perspektif yang berbeza-beza dalam menilai sesuatu perkara. Ruang awam bergantung kepada hubungan yang tiada pemisahnya antara peribadi dan awam kerana seseorang itu perlu bekerja keras untuk mempengaruhi dan mendapat tempat dikalangan orang awam.

Analisis BERSIH 2.0
Hegemoni merupakan cara berkempen yang digunakan oleh golongan pemimpin politik yang ingin meraih undi daripada rakyat. Hegemoni merupakan cara yang lembut atau secara tidak sedar oleh rakyat seperti melalui ceramah, pembahagian barangan dan peruntukan kewangan dalam mensosialisasikan rakyat secara berterusan. Apabila lahirnya usaha minoriti rakyat untuk memecahkan teknik meraih undi dalam hegemoni, maka lahirlah konsep counter hegemony untuk melawan dan bertindak balas terhadap hegemoni dengan cara yang boleh dilihat umum tanpa disorokkan dan dibenarkan oleh pemerintah.
Ekoran daripada itu, wujudnya Media Arus Perdana untuk meraih undi rakyat secara terang-terangan yang mudah didapati setiap hari seperti akhbar harian Metro, Sinar, Utusan Malaysia, Berita Harian dan tayangan televisyen TV1, TV2, TV3 dan Astro yang menyampaikan berita tentang kebaikan pemerintah dan kerajaan. Walau bagaimanapun, golongan minimum yang disekat kebebasannya untuk meraih undi akan mencari alternatif untuk menceritakan apa yang tidak diceritakan dalam Media Arus Perdana terutama perkara buruk yang disorokkan daripada pengetahuan rakyat tentang tampuk kepimpinan negara. Bermula apabila medan internet digunakan, golongan minoriti ini mula bergiat menulis di blog, friendster, twitter, facebook, surat khabar Harakah dan mewujudkan Televisyen PAS untuk tujuan memprotes dan meraih undi orang awam.
Kebangkitan semangat rakyat untuk menentang pemerintahan dalam masyarakat sivil di Malaysia telah menggerakkan demonstrasi jalanan seperti yang terjadi dalam Perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011. Dalam demonstrasi BERSIH 2.0 ini, kita dapat lihat bagaimana rakyat menggunakan ruang awam untuk memoralkan sistem yang sedia ada dan penguasaan undang-undang yang harus diperketatkan dan diberi keadilan.
Demonstrasi dalam ruang awam seperti Perhimpunan BERSIH 2.0 terjadi adalah kerana ketidakpuasan hati rakyat apabila pemimpin yang dilantik oleh majoriti rakyat Malaysia menentang dan menindas kembali rakyat dengan kekuasaan yang ada melalui sistem dan perundangan negara. Masyarakat dalam kelompok politik minoriti memprotes kerajaan apabila mereka menyedari bahawa mereka diasingkan daripada mengutarakan pendapat melalui media-media perdana, ketidakadilan dalam perkhidmatan awam, politik kerajaan yang kotor dan penggunaan rasuah yang tidak henti-henti sehingga kini.
Kesedaran ini lahir sama ada dari diri rakyat itu sendiri mahupun kelompok parti politik yang menentang corak pentadbiran dan pemerintahan negara untuk memperjuangkan kelas pertengahan dan bawahan. Pada ketika ini, hegemoni sekali lagi berlaku apabila golongan intelektual dan tampuk pemerintahan parti pembangkang akan memberikan kesedaran palsu kepada mereka dengan impian dan harapan untuk melahirkan Malaysia dalam pemerintahan parti pilihan mereka.
Revolusi dan evolusi akan dilancarkan apabila sesebuah parti politik berjaya mendapat tempat dalam tampuk pemerintahan dan proses hegemoni akan kembali berulang sehingga adanya pihak tidak berpuas hati dan berlakulah demonstrasi yang seterusnya sebagai suatu kebebasan rakyat untuk bersuara. Pertentangan ideologi dan perspektif ini tiada penghujungnya kerana setiap manusia mempunyai pandangan masing-masing terhadap kepimpinan dan pentadbiran sesebuah negara.

Kesimpulannya, tidak dinafikan bahawa peraturan pilihanraya di Malaysia masih terdapat cacat celanya. Contohnya, liputan media perdana biasanya akan memihak kepada Barisan Nasional atau UMNO serta bebas menggunakan harta kerajaan semasa berkempen untuk pilihanraya. Tujuan Perhimpunan  BERSIH 2.0 itu ada kebaikannya demi memperjuangkan pilihanraya yang bebas dan adil. Pendirian kerajaan mengharamkannya adalah kerana perhimpunan tersebut menjadi landasan bagi Pakatan Rakyat atau pihak pembangkang melancarkan gerakan besar-besaran menentang kerajaan.
Walau bagaimanapun, keadaan politik di Malaysia masih jauh berbeza jika dibandingkan pergolakan politik Mesir di mana Presiden Mubarrak telah memegang tampuk kuasa lebih daripada 30 tahun tanpa pilihanraya yang bebas. Sebaliknya, di Malaysia kita mengadakan pilihanraya setiap lima tahun sejak merdeka. Parti  Barisan Nasional sememangnya telah lama memerintah, tetapi telah ada enam orang perdana menteri dalam jangka masa tersebut. 

No comments: