Saturday, 8 June 2013

Psikologi Rasulullah S.A.W Dalam Berinteraksi Dengan Kanak-Kanak

 Pengenalan Psikologi Dakwah Dan Rasulullah S.A.W.

Secara fitrahnya, manusia saling memerlukan antara satu sama lain untuk terus hidup di muka bumi ini. Dengan itu, manusia adalah masyarakat sosial kerana manusia sentiasa berinteraksi antara satu sama lain. Psikologi dakwah memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat bukan sahaja pada masa kini, tetapi juga untuk umat masyarakat akan datang.
Secara ringkasnya, psikologi dari segi bahasa bermaksud kajian tentang jiwa atau pemikiran. Psikologi merupakan satu bidang ilmu untuk memahami peranan mental individu dalam bertingkah laku dan bersosial. Pengetahuan psikologi diterapkan dalam pelbagai bidang kegiatan manusia termasuk keluarga, pendidikan, kerjaya, dan rawatan masalah kesihatan mental. Psikologi merangkumi sub-bidang yang pelbagai seperti perkembangan manusia, sukan, kesihatan, industri, media dan undang-undang. Psikologi juga menggabungkan kajian daripada ilmu-ilmu sosial, ilmu alam dan ilmu kemanusiaan.
Dakwah merupakan suatu tanggungjawab agama yang mesti dipikul oleh setiap muslim. Ia adalah usaha untuk menyampaikan saranan agama dan menyeru manusia kepada kebaikan. Tangungjawab ini lahir dari komitmen dan iltizam mereka kepada kebaikan iaitu untuk menyampaikan kebaikan bukan hanya kepada diri sendiri atau keluarga tersayang tetapi juga kepada warga manusia sejagat.
Dakwah bermaksud seruan dan ajakan. Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Imran, ayat 104 yang bermaksud:
 “Dan hendaklah ada dikalangan kamu yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang segala perbuatan yang salah (buruk dan keji). Mereka yang bersifat demikian itulah orang-orang yang berjaya.”
Untuk mencapai kehidupan sosial yang baik sebagaimana yang dikehendaki, dakwah secara psikologinya perlu diwujudkan melalui pembinaan sosial yang mantap. Rasulullah s.a.w bukan sahaja menggunakan psikologi dakwah dalam bidang pentadbiran negara, hubungan diplomatik dan dakwah terhadap masyarakat, malah ketika berinteraksi dengan anak-anak kecil.
Kanak-kanak dilahirkan dalam keadaan yang tidak mengetahui apa-apa seperti yang selalu disebut-sebut dalam masyarakat “anak ibarat kain putih”. Oleh itu, menjadi tugas ibubapa dalam membentuk dan mencorak anak-anak tersebut sama ada baik atau buruknya budi pekerti mereka.
Sabda Rasulullah s.a.w. di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan menerusi Abu Hurairah r.a yang bermaksud:
“Tidak ada seorang bayi melainkan dilahirkan di dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanyalah yang meyahudikannya, memajusikannya atau mengkristiankannya.”
            Kanak-kanak juga telah dilahirkan daripada perut seoarang ibu tanpa mengetahui sesuatu pun. Ibu bapalah yang bertanggung jawab memberi didikan kepada anak-anak mereka supaya menjadi insan yang berguna dan berakhlak mulia. Firman Allah s.w.t di dalam surah An-Nahl ayat 78 yang bermaksud:
“Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran, supaya kamu bersyukur.”

 Perkembangan Sosial Dan Moral Kanak-kanak.

            Nabi Adam a.s merupakan kejadian manusia pertama yang dicipta oleh Allah s.w.t. daripada at-tin iaitu tanah liat hitam. Firman Allah s.w.t.di dalam surah Al-Hijr ayat 26 yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) daripada tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental (lumpur hitam) yang berubah warna dan bau.”
            Allah telah menjadikan keturunan manusia dari sejenis pati iaitu air mani yang kotor daripada tulang sulbi lelaki dan tulang dada perempuan. Dia telah menciptakan manusia secara berperingkat-peringkat sehingga lahirlah bayi yang mempunyai sifat-sifat semulajadi dan bersih.
            Menurut ahli psikologi, perkembangan merupakan perubahan secara kualitatif serta kecenderungan ke arah lebih baik dari segi pemikiran, rohani, moral dan sosial. Perkembangan emosi pada peringkat kanak-kanak banyak dipengaruhi melalui pelaziman dan cara peniruan. Peringkat kanak-kanak merupakan peringkat ingin belajar dan mencuba sesuatu. Mereka juga mudah terpengaruh dengan persekitaran yang dihuni.
            Cara pelaziman berlaku dengan mudah dan cepat. Ini kerana kanak-kanak suka menggunakan daya imaginasi dalam membayangkan sesuatu mengikut apa yang telah dilazimkan dalam diri kanak-kanak tersebut.
            Kanak-kanak akan meniru tingkah laku emosi yang diperhatikannya pada orang disekeliling mereka dan memberikan tindak balas. Ibu bapa adalah model utama untuk anak-anak meniru tingkah laku mereka. Jika ibu bapa berkelakuan buruk, bertindak keras dan menganiaya anak-anak, maka emosi dan tingkah laku mereka juga turut menyeleweng.
            Pada peringkat ini, mereka bersedia untuk menerima apa sahaja perkara sama ada yang baik dan buruk. Akhlak berkembang mengikut peringkat usia. Ketika anak-anak belum memahami yang baik dan buruk, mereka perlu diberikan latihan untuk biasakan mereka dengan akhlak yang mulia. Rasulullah s.a.w menyeru kepada semua umat Islam yang mempunyai anak supaya mencorak pendidikan anak-anak sejak dari kecil lagi. Baik buruk apa yang diajarkan itulah yang akan membentuk keperibadian anak tersebut. Akhlak yang dibentuk oleh orang terdekat dengan seseorang kanak-kanak akan berkembang bersama pembesaran mereka sehingga menjadi sebahagian daripada tabiat mereka ketika dewasa kelak.
Oleh itu, ibu bapa dan insan di sekeliling perlulah memberi didikan dan menunjukkan ciri-ciri dan sifat yang mulia dihadapan kanak-kanak untuk mereka jadikan teladan. Mereka juga perlulah diberi layanan yang baik serta belaian yang mesra agar mereka sentiasa berasa disayangi dan disanjungi. Itulah antara faktor yang akan menyebabkan mereka menghormati orang lain apabila dewasa kelak.
Rasulullah s.a.w. menyedari tentang hakikat ini. Baginda berinteraksi dengan kanak-kanak dengan penuh kasih sayang dan sentiasa memberikan pengajaran kepada mereka. Anak-anak merupakan generasi penerus dan harapan bangsa. Mereka memerlukan pembinaan akal yang sihat dan akhlak yang mulia dalam mengharungi kehidupan ini supaya mereka terlepas dari kejumudan pola fikiran dan keterbelakangan.
Apabila kita dapat membentuk akhlak anak-anak kita sesuai dengan panduan yang digariskan Rasulullah s.a.w., nescaya akan memberikan pengaruh yang sangat berkesan terhadap masyarakat. Anak-anak yang berakhlak mulia mampu mengukuhkan masyarakat sejagat.

  Aspek Penting Dalam Mendidik Anak-Anak.

            Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulum Ad-Din menekankan betapa perlu dan pentingnya keperibadian tinggi bagi seorang pendidik yang berkesan. Menurut Imam Al-Ghazali, seseorang pendidik mestilah mengamalkan ilmunya dan tidak membohongi perbuatan melalui perkataan. Ini adalah kerana ilmu dapat diperhatikan dengan mata hati, sementara perbuatan dapat dilihat dengan mata, sedangkan orang yang mempunyai mata lebih ramai. Kenyataan Imam Al-Ghazali menunjukkan bahawa sikap, tingkah laku, amalan, akhlak dan peribadi pendidik adalah lebih penting daripada ilmu yang dimiliki pendidik.
Ibu bapa sangat ditegah berinteraksi dengan anak-anak mereka dengan kasar dan bengis walaupun anak tersebut melakukan kesalahan tertentu. Malah ibu bapa seharusnya menegur kesalahan anak mereka dengan cara yang lembut dan bijaksana. Pendekatan psikologi juga boleh digunakan dalam menegur kesalahan anak-anak. Pendekatan psikologi mendorong kepada pemikiran, pemerhatian dan pengambilan iktibar dalam proses dakwah kerana manusia mempunyai potensi untuk berubah kepada kebaikan dengan anugerah akalnya.
            Kanak-kanak perlulah sentiasa diberikan perhatian dan mengambil berat tentang perkara-perkara yang boleh mempengaruhi diri mereka. Kanak-kanak akan merasakan kasih sayang meresap dalam dirinya melalui sentuhan orang disekelilingnya terutama ibu bapa mereka. Ibu bapa yang mengambil berat tentang anak mereka akan memberi dimensi dalam diri kanak-kanak tersebut bahawa mereka mempunyai ibu bapa yang sangat prihatin tentang kebajikan mereka.  
Unsur penghargaan  dan juga penghormatan merupakan proses pendidikan yang penting bagi menaikkan semangat anak untuk mencapai prestasi yang baik dalam kehidupannya. Peneguhan merujuk kepada sesuatau tindakan yang dilakukan dengan tujuan untuk mengubah tingkah laku seseorang. Kebiasaanya peneguhan positif dibuat untuk memastikan perubahan yang positif berkembang dalam diri seseorang individu. Peneguhan positif akan mendatangkan kegembiraan dalam diri kanak-kanak sama ada dalam bentuk fizikal seperti memberi hadiah kepada anak tersebut ataupun dalam bentuk lisan seperti kata-kata pujian. Ia juga boleh mewujudkan kesan positif dalam diri kanak-kanak tersebut hasil daripada rasa gembira yang dialaminya.
Di dalam kebanyakan hal, ibu bapa dan guru sering mengabaikan perasaan kanak-kanak. Pada hakikatnya kanak-kanak amatlah mudah tersentuh hatinya dan sangat sensitif. Perkara ini akan menyebabkan anak-anak takut untuk menyatakan perasaan dan keinginan mereka. Ajaran Rasulullah s.a.w., perwalian baginda dan tanggungan baginda adalah merupakan kaedah-kaedah pemeliharaan yang baik, taman-taman menyuburkan kasih sayang dan cinta serta sumber segala petunjuk dan hidayah daripada Allah s.w.t.

  Interaksi Rasulullah Dengan Kanak-Kanak.

            Jujungan kita, Nabi Muhammad s.a.w. adalah rahmat bagi seluruh alam. Baginda menunjukkan sifat belas ihsan dan kasih sayang bukan sahaja kepada orang tua, malahan juga kepada anak-anak kecil. Mungkin kita telah mendengar kisah bagaimana Rasulullah s.a.w. menunjukkan sifat belas ihsan baginda kepada orang-orang tua. Kali ini, kita mendengar pula tentang keperibadian dan akhlak Rasulullah s.a.w.  terhadap anak-anak kecil.
            Hampir tiada yang menyayangi kanak-kanak seperti Rasulullah s.a.w. Diberitakan bahawa kanak-kanak senang dan suka memanjat belakang Rasulullah s.a.w. dan bermain-main di atas baginda. Baginda sentiasa memeluk dan mencium kanak-kanak yang datang kepada baginda dengan penuh kasih sayang. Rasulullah s.a.w. akan mencium kanak-kanak tersebut seperti beliau mencium bunga dan berkata: “Engkau adalah bunga yang cantik dari taman-taman Allah s.w.t.”
            Mungkin kita sudah mendengar bagaimana Rasulullah s.a.w. amat cintakan ibadah. Kadang-kadang beliau akan menghabiskan keseluruhan malamnya untuk beribadah. Isteri beliau, Saidatina Aishah r.a pernah berkata bahawa apabila telah sampai waktu solat, Rasulullah s.a.w seorang-olah tidak kenal orang disekeliling beliau. Beliau hanya mengingati Allah s.w.t sahaja. Akan tetapi, walaupun dalam keadaan demikian, beliau tetap tidak melupakan anak-anak kecil.
Beliau amat menyayangi cucu beliau, Umamah anak perempuan Zainab binti Rasulullah s.a.w. dengan suaminya al-As bin Rabi’ah bin Abd Syams. Apabila sampai waktu solat dan Umamah berada di ribaan atau dukungan baginda, baginda akan meletakkan Umamah di atas bahu. Kemudian apabila baginda ingin ruku’, baginda akan meletakkan Umamah ke bawah dengan perlahan-lahan. Kemudian selepas baginda selesai dari sujud, baginda akan mengangkat Umamah dan meletakkannya di atas bahu baginda kembali.
Rasulullah s.a.w amat menyayangi cucu-cucu baginda. Baginda biasa memanjangkan sujud baginda hanya kerana mereka. Pada suatu hari, cucu baginda Saidina Hussain berada di masjid. Ketika baginda sedang sujud, Saidina Hussain memanjat belakang baginda. Baginda sengaja memanjangkan sujud sehingga para sahabat menyangka bahawa ia adalah satu perintah baru dari Allah s.w.t untuk memanjangkan sujud. Selepas Rasulullah s.a.w selesai dari mengerjakan solat, mereka bertanyakan baginda tentang sujud yang begitu lama itu. Rasulullah s.a.w menjawab: “Cucuku telah memanjat belakang daku. Maka daku mahu dia memuaskan hatinya. Daku hanya bangun dari sujud hanya apabila dia telah puaskan hatinya.”
Ada ketikanya baginda akan bermain dengan anak-anak kecil. Apabila kanak-kanak itu bersama baginda, baginda akan meminta kanak-kanak tersebut berdiri sebaris menghadap baginda. Selepas itu baginda akan duduk di satu tempat yang agak jauh sikit dari kanak-kanak tersebut dan menghulurkan tangannya kepada mereka. Kemudian baginda akan menyuruh kanak-kanak tersebut lari ke dakapannya. Siapa yang sampai dahulu akan mendapat hadiah. Maka kanak-kanak tersebut akan lari sekuat-kuatnya kepada dakapan baginda sehingga ada yang melanggar dada dan perut baginda. Selepas itu, baginda akan memeluk mereka semua dengan penuh kasih sayang.
Rasulullah s.a.w selalu menunjukkan rasa sayang dan cinta beliau kepada anak-anak kecil dan baginda mengajar umatnya agar melakukan perkara yang sama. Pada zaman tersebut, orang-orang Arab Badwi terkenal dengan sifat kasar dan keras mereka. Mereka percaya bahawa hanya orang yang kasar dan keras sahaja dihormati oleh kaum puak mereka. Maka mereka tidak akan menunjukkan rasa sayang mereka kepada anak-anak mereka. Apatah lagi kanak-kanak lain. Rasulullah s.a.w. mendidik dan mengajar orang-orang Arab Badwi ini agar menunjukkan rasa sayang dan cinta kepada anak-anak kecil.
Ada seorang yang bernama Al-Aqra’ bin Habis. Beliau merupakan ketua sebuah kaum. Pada satu hari beliau mendatangi Rasulullah s.a.w dan melihat baginda mencium cucu baginda iaitu Saidina Hassan. Maka Iqra’ pun berkata: “Aku mempunyai 10 anak tetapi aku tidak pernah mencium mereka.” Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Sesiapa yang tidak menunjukkan kasih sayang, tidak akan mendapat kasih sayang dari Allah s.w.t.”
Rasulullah s.a.w selalu memberikan salam terlebih dahulu kepada kanak-kanak. Ini mendidik mereka dan menanamkan dalam diri mereka agar bersegera memberi salam dahulu. Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa, pernah satu ketika Rasulullah s.a.w mengutus beliau untuk melakukan satu tugas. Dalam perjalanan, beliau berjumpa dengan beberapa budak lelaki. Maka beliau duduk bersama dengan budak-budak tersebut. Apabila baginda s.a.w. mendekati budak-budak tersebut, baginda dengan segera memberikan salam kepada mereka. Peristiwa ini memberikan kesan yang mendalam dalam jiwa Anas bin Malik r.a. Sehingga akhir hayatnya, beliau selalu bersegera memberikan salam terlebih dahulu.
Abu Hurairah r.a. pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda bahawa: “Cara memberi salam adalah yang menaiki kenderaan memberi salam kepada pejalan kaki, yang pejalan kaki memberi salam kepada yang duduk, yang sedikit memberi salam kepada yang lebih ramai, yang muda memberi salam kepada yang tua”. Nabi Muhammad s.a.w memulakan memberi salam kepada kanak-kanak kecil kerana sifat baginda yang lemah lembut dan tawadhu.
Perwatakan Nabi Muhammad s.a.w jelas menunjukkan sikap baginda terhadap generasi muda iaitu perasaan kasih sayang dan sikap mengambil berat terhadap mereka. Walaupun setelah baginda dipilih menjadi rasul dan pemimpin semenanjung Tanah Arab, malah pemimpin seluruh kejadian Tuhan, baginda masih bermain-main dengan cucunya, Hassan dan Hussin, sambil baginda merangkak di tanah. Baginda sentiasa menghormati puteri baginda, Saidatina Fatimah r.a. hinggakan baginda akan bangun apabila Fatimah datang dan akan terlebih dahulu mengucapkan salam kepada puterinya itu.
Menurut Aishah r.a dalam sebuah hadis yang diriwayatkan olehnya yang bermaksud :
“Tidak pernah ku lihat seseorang yang lebih serupa dari segi perangai, tingkah laku, dan tindakan seperti Nabi Muhammad s.a.w dengan Fatimah. Apabila dia datang kepada baginda, baginda akan bangun menghormatinya, menyambut tangan, mencium lalu mendudukkan Fatimah di tempat duduk baginda sendiri. Dan apabila baginda pergi kepada Fatimah, wanita itu akan lantas bangun dan menghormati baginda, lalu baginda memegang tangan Fatimah, mencium dan mendudukkan beliau di sebelah tempat duduknya sendiri.” ( Al-hadith-mishkat al-masabih, oleh al-haj maulana fazlul karim jilid 1, dacca, pakistan timur, 1960: hlm. 163 )
            Baginda juga selalu memeluk cium anak cucunya dan menyuruh kaum muslimin melakukan sedemikian rupa. Baginda mengajar kaum muslimin bukan sahaja perlu menghormati keturunan mereka yang masih muda tetapi juga melayan mereka dengan penuh kasih sayang sama ada secara fizikal dan mental. Baginda menekankan bahawa anak-anak adalah kurniaan dari Allah s.w.t kepada ibubapa. Menjadi tugas dan tanggungjawab kedua ibubapa untuk mendidik serta membesarkan mereka  selaras dengan tuntutan agama.
Baginda begitu menghormati kanak-kanak sehingga menggelarkan kanak-kanak sebagai "mekar tuhan". Keluhuran laku Nabi dapat pula didengar dari Imam Ali bin Abi Thalib karramallahu wajhah, sepupu dan menantu Nabi, dan orang tidak pernah kafir seumur hidupnya. Ia pernah berkhutbah tentang hubungannya dengan Nabi :
“Ketika masih kanak-kanak, aku membanting dada para lelaki Arab, dan mengalahkan jaguh-jaguh dari suku Rabi’ah dan Mudhar. Sungguh kalian mengetahui kedudukanku di sisi Rasulullah s.a.w sebagai kerabat yang sangat dekat. Baginda meletakkanku di pangkuannya di kala aku masih kanak-kanak, baginda merangkulku ke dadanya, membaringkanku di tempat tidurnya, menyentuhkanku ke tubuhnya, sehingga aku mencium aroma badannnya. Seringkali baginda mengunyah sesuatu kemudian menyuapkannya untukku. Baginda tidak pernah berbohong dalam ucapannya terhadapku, dan tidak pernah pula salah dalam tindakannya.

  Kesimpulan.

Begitu indahnya cara Rasulullah mendekati dan berinteraksi dengan kanak-kanak. Demikian pula dengan semua ucapan dan perkataan baginda yang memancar dari huruf-hurufnya cahaya terang yang menyingkap segala tabir kegelapan dan memberikan petunjuk kepada jalan yang lurus. Apabila kita dapat membentuk akhlak anak-anak kita sesuai dengan panduan yang digariskan Rasulullah s.a.w., nescaya akan memberikan pengaruh yang sangat baik dan sekali gus mengurangkan gejala sosial yang terjadi di dalam masyarakat hari ini.
Tidak hairanlah apabila kanak-kanak pada zaman Rasulullah s.a.w. sangat menyayangi baginda sehingga mereka tidak segan untuk berinteraksi dengan baginda. Perkara ini ekoran daripada pendekatan psikologi yang digunakan Rasulullah s.a.w. berinteraksi dengan mereka yang sangat bagus.
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. adalah manusia terbaik yang diciptakan oleh Allah s.w.t. di muka bumi ini. Sedalam mana pun kisah sejarah yang disingkap sudah tentu tidak ditemui kehebatan insan yang bernama Muhammad s.a.w. Sebagaimana firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Baqarah ayat 151 yang bermaksud:
“Sebagaimana Kami telah mengutuskan kepadamu rasul diantara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan menyucikan kamu dan mengajarkan kamu kitab dan hikmah (sunnah) serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui”

 Rujukan
Razali Saaran, 2010, Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik, Mustread Sdn.Bhd.,
Kuala Lumpur.

Abdul Salam Yussof, 2003, Imam Al-Ghazali Pendidikan Berkesan, Utusan Publications &
Distributors Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.

Dr. Basri Ibrahim, 2009, Psikologi Rasulullah Dalam Berinteraksi Dengan Masyarakat,
Al-Hidayah Publication, Kuala Lumpur.

Muhammad Ali Qutb, 2009, Nasihat Rasulullah Untuk Kanak-Kanak, Pustaka Al-Shafa,
Kuala Lumpur.

Khutbah Jumaat, 2001, Akhlak Mulia Rasulullah Terhadap Kanak-Kanak, Majlis Ugama Islam
Singapura.


1 comment:

Nur Edzati Kamaluddin said...

Salam cik puan yang mulia,
saya mohon untuk masukkan inti dari artikel cik puan ke dalam tulisan artikel saya untuk majalah Pa & Ma Mac 2014, kolum prasekolah Islam.

Tersentuh hati membaca akhlaq baginda bersama kanak-kanak. Moga dengan tulisan ini cik puan dikumpulkan bersama kekasih kita semua, Muhammad s.a.w. di syurgaNya kelak. Moga moga dapat juga saya menyertainya. Terima kasih..

Nur Edzati Kamaluddin