Friday, 15 July 2011

Buatmu Kekasih Hati

Sahabat seperjuanganku kini semakin dewasa sepertiku juga yang sudah mula menjenguk alam perkahwinan yang bakal ku bina suatu hari nanti… Ada di antara sahabatku yang akan  dan telah memasuki alam
rumahtangga pada tahun ini @ tahun depan.


Di bawah ini ku catatkan surat untuk dari seorang kekasih, bakal peneman hidupku insyaAllah hingga hujung nyawaku dan seterusnya di Jannati Firdausi…hanyalah sebagai peringatan bagimu bakal suamiku...
Siapa sahaja buat diri ini, aku meredhainya..pilihan sendiri mahupun keluarga
--------------------------------




Buat kekasih..


Assalamualaikum wrh. wbt.


Semoga berada di bawah lindungan rahmat Allah taala
dan sentiasa dikurniakan taufiq, hidayah dan
 istiqamah dalam meniti alam perjuangan.


Kita bersyukur kepada Allah taala yang masih mengurniakan
nikmat iman dan Islam pada diri kita serta kesabaran dan ketabahan
bagi menghadapi ujian-ujian kehidupan.


Oleh kerana besarnya pertanggungjawaban dan kepentingan
persoalan rumahtangga yang hendak kita bina dalam kehidupan ini,
diri ini terdorong untuk menulis surat ini bagi  menyatakan
perkara-perkara penting yang  harus diperhatikan sebagai peringatan
 untuk kita bersama. Semoga ada kesepakatan antara kita dalam hal ini.


Rata-rata manusia, apabila memperkatakan tentang perkahwinan akan
mengaitkannya dengan kegembiraan dan keseronokan.
Diharapkan, kita mempunyai perasaan yang betul dalam menghadapi
alam perkahwinan nanti.


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud ;

"Berpesan-pesanlah kamu sekalian dengan kebaikan terhadap para wanita.
Sesungguhnya mereka adalah pembantu-pembantu kamu yang tidak
memiliki apa-apa bagi diri mereka sendiri.
Sesungguhnya kamu mengambil mereka dengan amanah Allah dan
menghalalkan diri mereka dengan kalimah Allah."


Dalam hadis ini  Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa isteri adalah
amanah Allah taala kepada suaminya.
Pengertian amanah di dalam hadis ini boleh kita lihat pula
dalam firman Allah taala:

"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan
keluarga kamu dari api neraka." (At-Tahrim : 6 )


Subhanallah!! Bagaimana kita tidak merasa gerun dengan hakikat ini.
Untuk menyatakan diri ini telah berjaya untuk memelihara diri dari
api neraka adalah terlalu jauh.
Kini harus pula menerima amanah lain dari Allah taala dan
memikul tanggungjawab pula untuk melepaskannya dari api neraka.


Apa pun bentuk amanah, ia adalah suatu yang akan
dipertanggungjawabkan oleh Allah taala.
Oleh sebab itu, langit dan seluruh isi dunia tidak sanggup untuk memikulnya.


Seorang mukmin atas hakikat yang dinyatakan, seharusnya merasa insaf.
Oleh itu, rasa seronok dan gembira adalah terlalu ganjil baginya dalam persoalan ini, tetapi kenapa perkahwinan ini harus dilaksanakan juga?


Demi Allah, jika tidak kerana kepentingan Islam dan dakwah,
jika tidak kerana untuk mencontohi sunnah Rasulullah s.a.w
maka tidak berupaya rasanya dirimu untuk memikul amanah ini.


Walau pun amanah ini besar dan pertanggungjawaban terhadapnya
menggerunkan, namun kepentingan Islam dan dakwah yang terdapat dalam
perkahwinan adalah lebih besar untuk dicapai dan tidak wajar untuk
dihalang oleh perasaan gerun yang ada dalam hatimu dan hatiku.


Semoga langkah kita ini menepati dengan firman Allah taala
yang bermaksud :


"Jika kau telah berazam, maka bertawakkallah kepada Allah."
(Ali-Imran : 159)


Kekasihku…


Ingatlah juga, bahawa rumahtangga ini adalah sebahagian dari fasa-fasa
perjuangan yang harus kita jayakan bagi mencapai matlamat suci kita
        Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam.
Rumahtangga ini adalah nukleus bagi masyarakat Islam yang cemerlang.


Oleh kerana ia adalah sebahagian dari perjuangan di atas jalan dakwah,
maka ia juga tidak akan terlepas dari sunnah jalan dakwah ini.
Bahawa sunnah jalan dakwah ini dulu, kini dan akan datang…
bukanlah jalan yang merehatkan.
Ia bukan juga jalan yang dihampari oleh permaidani merah dan
ditaburi oleh bunga-bunga yang indah.

Ia adalah jalan yang penuh ujian dan kesulitan tetapi
di hujungnya terdapat kemanisan.
Maka tidak seharusnya kita merasa bersedih hati di kemudian hari
atau merungut atas kesulitan dan ujian yang akan dihadapi.


Oleh kerana ia adalah sebahagian dari perjuangan, maka
kepentingan perjuanganlah yang akan mencorak rumahtangga ini.
Kepentingan perjuangan ialah kepentingan Islam dan  masyarakatnya
serta wadah perjuangan yang mendokongnya.


Bagi kita “Baiti-Daulati” – Rumahku, Daulahku.


Jika kita fahami apa yang dinyatakan tadi, maka tentulah diri kita
rasa terlalu kerdil untuk memikul tugas ini.
Hanya dengan bantuan Allah sahaja kita akan berjaya.
 Namun…. sejauh mana Allah taala akan membantu kita
adalah terletak pada sejauh mana kita mampu
menepati kehendak-kehendakNya.
Oleh itu, kemungkaran adalah sesuatu yang asing
dan sangat sensitif bagi rumah tangga ini kerana
ia adalah penghijab bagi kita dari bantuan Allah taala dan
akan lebih menyukarkan jalan ini.

Kekasih….



Bagi seorang mukmin, kecintaannya hanyalah kepada Yang Satu iaitu
cinta kepada Allah taala.
Kalau ia harus mencintai yang lain, maka ia adalah cinta kerana Allah taala.
Inilah ikatan yang akan mengikat hati kita
cinta kepada Allah dan bercinta kerana Allah.
Semoga dengan ini kita akan digolongkan di dalam salah seorang dari
tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah taala di padang mahsyar kelak
“lelaki dan wanita yang saling mencintai kerana Allah taala semata-mata.”


Tanpa ikatan perkahwinan ini pun, hati kita telah diikat dengan rasa ukhuwwah fillah, kesatuan fikrah dan matlamat dari satu wadah perjuangan yang sama.
Ikatan-ikatan ini sahaja sudah cukup untuk kita saling mengasihi antara satu sama lain. Kini, ia akan dikukuhkan lagi dengan ikatan perkahwinan.
Begitu kukuh ikatan di antara kita dan adalah terlalu malang jika
ia akan diuraikan oleh faktor-faktor keduniaan.


Di hati ini selalu berbisik …
berapa lamakah rumahtanggaku nanti akan kita tempuhi bersama?

Akhir kata, simpanlah surat ini baik-baik, semoga ia akan menjadi
bahan tazkirah bagi kita bersama, anak-anak kita dan generasi seterusnya.


Semoga Allah taala memberkati rumahtangga kita nanti dan
Mengurniakan kekasihmu ini kekuatan untuk menjadi isteri cerdik yang solehah memimpin di atas landasanNya, penyejuk mata, penajam fikiran
untuk diriki berkhidmat kepadaNya sehingga kita ditentukan
dengan salah satu dari dua kebaikan
“hidup dengan kemuliaan atau gugur untuk perjuangan.”


Salam kasih, wassalamualaikum.
Saudaramu dalam Islam.

Sunday, 10 July 2011

Pandangan Peribadi Tentang Perhimpunan Bersih 2.0 Tanpa Menyebelahi Mana-mana Pihak

Penulisan ini adalah mengenai bagaimana fenomena demonstrasi yang sering kali dilakukan oleh rakyat di beberapa negara pada hari ini bukan sahaja seperti yang terjadi di Malaysia pada 9 Julai 2011, malah juga turut terjadi di negara-negara Timur Tengah yang dikenali sebagai negara Islam sehingga menjatuhkan pemerintahan negara mereka. Karangan ini akan mengupas bagaimana senario demonstrasi BERSIH 2.0 di Kuala Lumpur terjadi ekoran daripada hak kebebasan ruang awam yang dimiliki oleh rakyat seperti yang tertakluk dalam Perlembagaan Malaysia, Perkara 10 fasal (2), (3) dan (4).
Perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011 telah dipengerusikan oleh Bekas Presiden Majlis Peguam, seorang wanita Hindu  yang bernama Datuk Ambiga Sreenevasan . Dalam penulisan ini, konsep hegemoni dan ruang awam digunakan untuk menerangkan tentang perhimpunan tersebut beserta dengan teori dan penganalisisan proses terjadinya demonstrasi BERSIH 2.0. Demonstrasi ini terjadi ekoran daripada konflik politik yang tidak menemui penyelesaian sehingga ke hari ini sehingga membangkitkan aktivisma masyarakat di Malaysia untuk mempengaruhi dasar-dasar kerajaan.
Perhimpunan BERSIH 2.0 merupakan gabungan 63 Badan-badan Bukan Kerajaan  (NGO) yang mempunyai kepentingan dalam mempromosikan demokrasi dan pilihanraya yang bebas serta adil di Malaysia. 8 tuntutan Bersih 2.0 yang disenaraikan adalah bersihkan  senarai undi, menreformasi undi pos, guna dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.
Pemuda UMNO yang berhimpun atas nama Patriot juga hakikatnya merupakan kumpulan rakyat yang sama dengan kelompok BERSIH 2.0 dimana kedua-duanya dinafikan hak untuk berhimpun secara aman. Pemuda UMNO berani menyuarakan hak walaupun  tidak senada dengan kelompok pakatan rakyat, tetapi hak yang diperjuangkan adalah tetap sama. Berdasarkan kepada Perkara 10, tertakluk kepada fasal (2), (3) dan (4) tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara, berhak untuk berhimpun secara aman tanpa senjata dan berhak membentuk persatuan. Namun, Parlimen hanya boleh mengenakan tindakan undang-undang terhadap apa-apa sekatan yang didapati perlu demi keselamatan negara.

Hegemoni Dalam Sistem Politik
            Hegemoni bermaksud memimpin yang dikaitkan dengan sistem kekuasaan dan dominasi politik yang diselitkan unsur kepimpinan melalui persetujuan sesuatu kelompok. Teori Hegemoni merupakan cetusan idea Anthony Gramsci sebagai alternatif kepada teori marxisme tradisional yang diperkembangkan dengan hubungan antara kelas-kelas sosial untuk menjelaskan kekuasaan politik.
            Hegemoni merupakan penjajahan minda masyarakat secara lembut tanpa kekerasan dalam bentuk bermoral dan intelektual untuk mendapatkan sokongan majoriti demi mendapatkan kekuasaan atau mempertahankan kekuasaan yang telah dimiliki. Kekuatan ekonomi, kerakyatan, intelektual, moral, pensejarahan dan watak kekuasaan sangat mempengaruhi kuantiti kelas yang dihegemonikan dalam sesebuah kelompok.
            Suatu kelas akan menilai kelas atasan yang dipilih adalah mempunyai kekuatan sosial dan akan memberikan kepentingan kepada semua rakyat demi mempertahankan kepimpinan nasional yang memperjuangkan tuntutan rakyat melalui pelbagai penyatuan dan kekuatan sosial yang berbeza. Konsep hegemoni mengandungi usaha-usaha untuk membina perubahan sosial secara radikal dan revolusi. Antara peralatan hegemoni adalah seperti media massa, sekolah, masjid dan kempen pilihan raya yang dimanfaatkan untuk mensosialisasikan rakyat dan mempertahankan ideologi pihak kepimpinan dengan membentuk keinginan, nilai dan harapan.
            Oleh yang demikian, peranan golongan intelektual sangat penting dalam hegemoni untuk memberikan kesedaran dan mengembangkan  semangat perjuangan sesuatu kelas terhadap pentadbiran dan kepimpinan sesebuah negara.

Konsep Ruang Awam (Public Sphere)
            Ruang awam yang dibawa oleh Jurgen Habermas merujuk kepada ruang kebebasan yang dimiliki oleh pelbagai lapisan masyarakat untuk membincangkan isu-isu berkepentingan dengan rasional secara sukarela bagi mempengaruhi dasar-dasar kerajaan. . Ruang awam ini mampu menjadi penyelamat dalam masyarakat yang kompleks pada hari ini dalam pembentukan rasa kekitaan yang dipengaruhi oleh ekonomi, budaya, sejarah dan politik.
            Kedudukan masyarakat yang semakin kompleks menyemarakkan lagi krisis ruang awam dengan persentuhan kebudayaan melalui ledakan teknologi maklumat dan komunikasi tanpa batasan dengan negara-negara luar. Ekoran daripada itu, masyarakat lebih pintar dalam menilai sesuatu pemerintahan dan permasalahan negara dan menjadikan ruang awam sebagai peluang untuk mereka mendapatkan kebebasan untuk bersuara.
Semakin bertambah kuantiti masyarakat, semakin luas skala budayanya dan semakin sukar untuk mendapatkan keputusan dan persetujuan bersama kerana masyarakat masing-masing mempunyai perspektif yang berbeza-beza dalam menilai sesuatu perkara. Ruang awam bergantung kepada hubungan yang tiada pemisahnya antara peribadi dan awam kerana seseorang itu perlu bekerja keras untuk mempengaruhi dan mendapat tempat dikalangan orang awam.

Analisis BERSIH 2.0
Hegemoni merupakan cara berkempen yang digunakan oleh golongan pemimpin politik yang ingin meraih undi daripada rakyat. Hegemoni merupakan cara yang lembut atau secara tidak sedar oleh rakyat seperti melalui ceramah, pembahagian barangan dan peruntukan kewangan dalam mensosialisasikan rakyat secara berterusan. Apabila lahirnya usaha minoriti rakyat untuk memecahkan teknik meraih undi dalam hegemoni, maka lahirlah konsep counter hegemony untuk melawan dan bertindak balas terhadap hegemoni dengan cara yang boleh dilihat umum tanpa disorokkan dan dibenarkan oleh pemerintah.
Ekoran daripada itu, wujudnya Media Arus Perdana untuk meraih undi rakyat secara terang-terangan yang mudah didapati setiap hari seperti akhbar harian Metro, Sinar, Utusan Malaysia, Berita Harian dan tayangan televisyen TV1, TV2, TV3 dan Astro yang menyampaikan berita tentang kebaikan pemerintah dan kerajaan. Walau bagaimanapun, golongan minimum yang disekat kebebasannya untuk meraih undi akan mencari alternatif untuk menceritakan apa yang tidak diceritakan dalam Media Arus Perdana terutama perkara buruk yang disorokkan daripada pengetahuan rakyat tentang tampuk kepimpinan negara. Bermula apabila medan internet digunakan, golongan minoriti ini mula bergiat menulis di blog, friendster, twitter, facebook, surat khabar Harakah dan mewujudkan Televisyen PAS untuk tujuan memprotes dan meraih undi orang awam.
Kebangkitan semangat rakyat untuk menentang pemerintahan dalam masyarakat sivil di Malaysia telah menggerakkan demonstrasi jalanan seperti yang terjadi dalam Perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011. Dalam demonstrasi BERSIH 2.0 ini, kita dapat lihat bagaimana rakyat menggunakan ruang awam untuk memoralkan sistem yang sedia ada dan penguasaan undang-undang yang harus diperketatkan dan diberi keadilan.
Demonstrasi dalam ruang awam seperti Perhimpunan BERSIH 2.0 terjadi adalah kerana ketidakpuasan hati rakyat apabila pemimpin yang dilantik oleh majoriti rakyat Malaysia menentang dan menindas kembali rakyat dengan kekuasaan yang ada melalui sistem dan perundangan negara. Masyarakat dalam kelompok politik minoriti memprotes kerajaan apabila mereka menyedari bahawa mereka diasingkan daripada mengutarakan pendapat melalui media-media perdana, ketidakadilan dalam perkhidmatan awam, politik kerajaan yang kotor dan penggunaan rasuah yang tidak henti-henti sehingga kini.
Kesedaran ini lahir sama ada dari diri rakyat itu sendiri mahupun kelompok parti politik yang menentang corak pentadbiran dan pemerintahan negara untuk memperjuangkan kelas pertengahan dan bawahan. Pada ketika ini, hegemoni sekali lagi berlaku apabila golongan intelektual dan tampuk pemerintahan parti pembangkang akan memberikan kesedaran palsu kepada mereka dengan impian dan harapan untuk melahirkan Malaysia dalam pemerintahan parti pilihan mereka.
Revolusi dan evolusi akan dilancarkan apabila sesebuah parti politik berjaya mendapat tempat dalam tampuk pemerintahan dan proses hegemoni akan kembali berulang sehingga adanya pihak tidak berpuas hati dan berlakulah demonstrasi yang seterusnya sebagai suatu kebebasan rakyat untuk bersuara. Pertentangan ideologi dan perspektif ini tiada penghujungnya kerana setiap manusia mempunyai pandangan masing-masing terhadap kepimpinan dan pentadbiran sesebuah negara.

Kesimpulannya, tidak dinafikan bahawa peraturan pilihanraya di Malaysia masih terdapat cacat celanya. Contohnya, liputan media perdana biasanya akan memihak kepada Barisan Nasional atau UMNO serta bebas menggunakan harta kerajaan semasa berkempen untuk pilihanraya. Tujuan Perhimpunan  BERSIH 2.0 itu ada kebaikannya demi memperjuangkan pilihanraya yang bebas dan adil. Pendirian kerajaan mengharamkannya adalah kerana perhimpunan tersebut menjadi landasan bagi Pakatan Rakyat atau pihak pembangkang melancarkan gerakan besar-besaran menentang kerajaan.
Walau bagaimanapun, keadaan politik di Malaysia masih jauh berbeza jika dibandingkan pergolakan politik Mesir di mana Presiden Mubarrak telah memegang tampuk kuasa lebih daripada 30 tahun tanpa pilihanraya yang bebas. Sebaliknya, di Malaysia kita mengadakan pilihanraya setiap lima tahun sejak merdeka. Parti  Barisan Nasional sememangnya telah lama memerintah, tetapi telah ada enam orang perdana menteri dalam jangka masa tersebut.