Pengenalan
Psikologi Dakwah Dan Rasulullah S.A.W.
Secara
fitrahnya, manusia saling memerlukan antara satu sama lain untuk terus hidup di
muka bumi ini. Dengan itu, manusia adalah masyarakat sosial kerana manusia
sentiasa berinteraksi antara satu sama lain. Psikologi dakwah memainkan peranan
penting dalam kehidupan masyarakat bukan sahaja pada masa kini, tetapi juga
untuk umat masyarakat akan datang.
Secara
ringkasnya, psikologi dari segi bahasa bermaksud kajian tentang jiwa atau
pemikiran. Psikologi merupakan satu bidang ilmu untuk memahami peranan mental
individu dalam bertingkah laku dan bersosial. Pengetahuan psikologi diterapkan
dalam pelbagai bidang kegiatan manusia termasuk keluarga, pendidikan, kerjaya,
dan rawatan masalah kesihatan mental. Psikologi merangkumi sub-bidang yang pelbagai
seperti perkembangan manusia, sukan, kesihatan, industri, media dan
undang-undang. Psikologi juga menggabungkan kajian daripada ilmu-ilmu sosial,
ilmu alam dan ilmu kemanusiaan.
Dakwah
merupakan suatu tanggungjawab agama yang mesti dipikul oleh setiap muslim. Ia
adalah usaha untuk menyampaikan saranan agama dan menyeru manusia kepada
kebaikan. Tangungjawab ini lahir dari komitmen dan iltizam mereka kepada
kebaikan iaitu untuk menyampaikan kebaikan bukan hanya kepada diri sendiri atau
keluarga tersayang tetapi juga kepada warga manusia sejagat.
Dakwah
bermaksud seruan dan ajakan. Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Imran, ayat 104 yang bermaksud:
“Dan hendaklah ada dikalangan kamu yang
menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh
berbuat segala perkara yang baik, serta melarang segala perbuatan yang salah
(buruk dan keji). Mereka yang bersifat demikian itulah orang-orang yang
berjaya.”
Untuk
mencapai kehidupan sosial yang baik sebagaimana yang dikehendaki, dakwah secara
psikologinya perlu diwujudkan melalui pembinaan sosial yang mantap. Rasulullah s.a.w
bukan sahaja menggunakan psikologi dakwah dalam bidang pentadbiran negara,
hubungan diplomatik dan dakwah terhadap masyarakat, malah ketika berinteraksi
dengan anak-anak kecil.
Kanak-kanak
dilahirkan dalam keadaan yang tidak mengetahui apa-apa seperti yang selalu
disebut-sebut dalam masyarakat “anak ibarat kain putih”. Oleh itu,
menjadi tugas ibubapa dalam membentuk dan mencorak anak-anak tersebut sama ada
baik atau buruknya budi pekerti mereka.
Sabda
Rasulullah s.a.w. di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan menerusi Abu Hurairah
r.a yang bermaksud:
“Tidak ada
seorang bayi melainkan dilahirkan di dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanyalah
yang meyahudikannya, memajusikannya atau mengkristiankannya.”
Kanak-kanak juga telah dilahirkan
daripada perut seoarang ibu tanpa mengetahui sesuatu pun. Ibu bapalah yang
bertanggung jawab memberi didikan kepada anak-anak mereka supaya menjadi insan
yang berguna dan berakhlak mulia. Firman Allah s.w.t di dalam surah An-Nahl
ayat 78 yang bermaksud:
“Dan Allah
mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui
sesuatupun, dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta
hati akal fikiran, supaya kamu bersyukur.”
Perkembangan Sosial
Dan Moral Kanak-kanak.
Nabi Adam a.s merupakan kejadian
manusia pertama yang dicipta oleh Allah s.w.t. daripada at-tin iaitu tanah liat hitam. Firman Allah s.w.t.di dalam surah Al-Hijr ayat 26 yang bermaksud:
“Dan
sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) daripada tanah liat yang
kering, yang berasal dari tanah kental (lumpur hitam) yang berubah warna dan
bau.”
Allah telah menjadikan keturunan
manusia dari sejenis pati iaitu air mani yang kotor daripada tulang sulbi
lelaki dan tulang dada perempuan. Dia telah menciptakan manusia secara
berperingkat-peringkat sehingga lahirlah bayi yang mempunyai sifat-sifat
semulajadi dan bersih.
Menurut ahli psikologi, perkembangan
merupakan perubahan secara kualitatif serta kecenderungan ke arah lebih baik
dari segi pemikiran, rohani, moral dan sosial. Perkembangan emosi pada
peringkat kanak-kanak banyak dipengaruhi melalui pelaziman dan cara peniruan.
Peringkat kanak-kanak merupakan peringkat ingin belajar dan mencuba sesuatu.
Mereka juga mudah terpengaruh dengan persekitaran yang dihuni.
Cara pelaziman berlaku dengan mudah
dan cepat. Ini kerana kanak-kanak suka menggunakan daya imaginasi dalam
membayangkan sesuatu mengikut apa yang telah dilazimkan dalam diri kanak-kanak
tersebut.
Kanak-kanak akan meniru tingkah laku
emosi yang diperhatikannya pada orang disekeliling mereka dan memberikan tindak
balas. Ibu bapa adalah model utama untuk anak-anak meniru tingkah laku mereka.
Jika ibu bapa berkelakuan buruk, bertindak keras dan menganiaya anak-anak, maka
emosi dan tingkah laku mereka juga turut menyeleweng.
Pada peringkat ini, mereka bersedia
untuk menerima apa sahaja perkara sama ada yang baik dan buruk. Akhlak
berkembang mengikut peringkat usia. Ketika anak-anak belum memahami yang baik
dan buruk, mereka perlu diberikan latihan untuk biasakan mereka dengan akhlak
yang mulia. Rasulullah s.a.w menyeru kepada semua umat Islam yang mempunyai
anak supaya mencorak pendidikan anak-anak sejak dari kecil lagi. Baik buruk apa
yang diajarkan itulah yang akan membentuk keperibadian anak tersebut. Akhlak
yang dibentuk oleh orang terdekat dengan seseorang kanak-kanak akan berkembang
bersama pembesaran mereka sehingga menjadi sebahagian daripada tabiat mereka
ketika dewasa kelak.
Oleh
itu, ibu bapa dan insan di sekeliling perlulah memberi didikan dan menunjukkan
ciri-ciri dan sifat yang mulia dihadapan kanak-kanak untuk mereka jadikan
teladan. Mereka juga perlulah diberi layanan yang baik serta belaian yang mesra
agar mereka sentiasa berasa disayangi dan disanjungi. Itulah antara faktor yang
akan menyebabkan mereka menghormati orang lain apabila dewasa kelak.
Rasulullah
s.a.w. menyedari tentang hakikat ini. Baginda berinteraksi dengan kanak-kanak
dengan penuh kasih sayang dan sentiasa memberikan pengajaran kepada mereka.
Anak-anak merupakan generasi penerus dan harapan bangsa. Mereka memerlukan
pembinaan akal yang sihat dan akhlak yang mulia dalam mengharungi kehidupan ini
supaya mereka terlepas dari kejumudan pola fikiran dan keterbelakangan.
Apabila
kita dapat membentuk akhlak anak-anak kita sesuai dengan panduan yang
digariskan Rasulullah s.a.w., nescaya akan memberikan pengaruh yang sangat
berkesan terhadap masyarakat. Anak-anak yang berakhlak mulia mampu mengukuhkan
masyarakat sejagat.
Aspek Penting Dalam
Mendidik Anak-Anak.
Imam Al-Ghazali
dalam kitabnya Ihya Ulum Ad-Din menekankan betapa perlu dan pentingnya
keperibadian tinggi bagi seorang pendidik yang berkesan. Menurut Imam
Al-Ghazali, seseorang pendidik mestilah mengamalkan ilmunya dan tidak
membohongi perbuatan melalui perkataan. Ini adalah kerana ilmu dapat
diperhatikan dengan mata hati, sementara perbuatan dapat dilihat dengan mata,
sedangkan orang yang mempunyai mata lebih ramai. Kenyataan Imam Al-Ghazali
menunjukkan bahawa sikap, tingkah laku, amalan, akhlak dan peribadi pendidik
adalah lebih penting daripada ilmu yang dimiliki pendidik.
Ibu
bapa sangat ditegah berinteraksi dengan anak-anak mereka dengan kasar dan
bengis walaupun anak tersebut melakukan kesalahan tertentu. Malah ibu bapa
seharusnya menegur kesalahan anak mereka dengan cara yang lembut dan bijaksana.
Pendekatan psikologi juga boleh digunakan dalam menegur kesalahan anak-anak.
Pendekatan psikologi mendorong kepada pemikiran, pemerhatian dan pengambilan
iktibar dalam proses dakwah kerana manusia mempunyai potensi untuk berubah
kepada kebaikan dengan anugerah akalnya.
Kanak-kanak perlulah sentiasa
diberikan perhatian dan mengambil berat tentang perkara-perkara yang boleh mempengaruhi
diri mereka. Kanak-kanak akan merasakan kasih sayang meresap dalam dirinya
melalui sentuhan orang disekelilingnya terutama ibu bapa mereka. Ibu bapa yang
mengambil berat tentang anak mereka akan memberi dimensi dalam diri kanak-kanak
tersebut bahawa mereka mempunyai ibu bapa yang sangat prihatin tentang
kebajikan mereka.
Unsur
penghargaan dan juga penghormatan
merupakan proses pendidikan yang penting bagi menaikkan semangat anak untuk
mencapai prestasi yang baik dalam kehidupannya. Peneguhan merujuk kepada
sesuatau tindakan yang dilakukan dengan tujuan untuk mengubah tingkah laku
seseorang. Kebiasaanya peneguhan positif dibuat untuk memastikan perubahan yang
positif berkembang dalam diri seseorang individu. Peneguhan positif akan
mendatangkan kegembiraan dalam diri kanak-kanak sama ada dalam bentuk fizikal
seperti memberi hadiah kepada anak tersebut ataupun dalam bentuk lisan seperti
kata-kata pujian. Ia juga boleh mewujudkan kesan positif dalam diri kanak-kanak
tersebut hasil daripada rasa gembira yang dialaminya.
Di
dalam kebanyakan hal, ibu bapa dan guru sering mengabaikan perasaan
kanak-kanak. Pada hakikatnya kanak-kanak amatlah mudah tersentuh hatinya dan
sangat sensitif. Perkara ini akan menyebabkan anak-anak takut untuk menyatakan
perasaan dan keinginan mereka. Ajaran Rasulullah s.a.w., perwalian baginda dan
tanggungan baginda adalah merupakan kaedah-kaedah pemeliharaan yang baik,
taman-taman menyuburkan kasih sayang dan cinta serta sumber segala petunjuk dan
hidayah daripada Allah s.w.t.
Interaksi
Rasulullah Dengan Kanak-Kanak.
Jujungan
kita, Nabi Muhammad s.a.w. adalah rahmat bagi seluruh alam. Baginda menunjukkan
sifat belas ihsan dan kasih sayang bukan sahaja kepada orang tua, malahan juga
kepada anak-anak kecil. Mungkin kita telah mendengar kisah bagaimana Rasulullah
s.a.w. menunjukkan sifat belas ihsan baginda kepada orang-orang tua. Kali ini,
kita mendengar pula tentang keperibadian dan akhlak Rasulullah s.a.w. terhadap anak-anak kecil.
Hampir tiada yang menyayangi
kanak-kanak seperti Rasulullah s.a.w. Diberitakan bahawa kanak-kanak senang dan
suka memanjat belakang Rasulullah s.a.w. dan bermain-main di atas baginda.
Baginda sentiasa memeluk dan mencium kanak-kanak yang datang kepada baginda
dengan penuh kasih sayang. Rasulullah s.a.w. akan mencium kanak-kanak tersebut
seperti beliau mencium bunga dan berkata: “Engkau adalah bunga yang cantik dari
taman-taman Allah s.w.t.”
Mungkin kita sudah mendengar
bagaimana Rasulullah s.a.w. amat cintakan ibadah. Kadang-kadang beliau akan
menghabiskan keseluruhan malamnya untuk beribadah. Isteri beliau, Saidatina
Aishah r.a pernah berkata bahawa apabila telah sampai waktu solat, Rasulullah s.a.w
seorang-olah tidak kenal orang disekeliling beliau. Beliau hanya mengingati
Allah s.w.t sahaja. Akan tetapi, walaupun dalam keadaan demikian, beliau tetap
tidak melupakan anak-anak kecil.
Beliau
amat menyayangi cucu beliau, Umamah anak perempuan Zainab binti Rasulullah
s.a.w. dengan suaminya al-As bin Rabi’ah bin Abd Syams. Apabila sampai waktu
solat dan Umamah berada di ribaan atau dukungan baginda, baginda akan
meletakkan Umamah di atas bahu. Kemudian apabila baginda ingin ruku’, baginda
akan meletakkan Umamah ke bawah dengan perlahan-lahan. Kemudian selepas baginda
selesai dari sujud, baginda akan mengangkat Umamah dan meletakkannya di atas
bahu baginda kembali.
Rasulullah
s.a.w amat menyayangi cucu-cucu baginda. Baginda biasa memanjangkan sujud
baginda hanya kerana mereka. Pada suatu hari, cucu baginda Saidina Hussain
berada di masjid. Ketika baginda sedang sujud, Saidina Hussain memanjat
belakang baginda. Baginda sengaja memanjangkan sujud sehingga para sahabat
menyangka bahawa ia adalah satu perintah baru dari Allah s.w.t untuk
memanjangkan sujud. Selepas Rasulullah s.a.w selesai dari mengerjakan solat,
mereka bertanyakan baginda tentang sujud yang begitu lama itu. Rasulullah s.a.w
menjawab: “Cucuku telah memanjat belakang daku. Maka daku mahu dia memuaskan
hatinya. Daku hanya bangun dari sujud hanya apabila dia telah puaskan hatinya.”
Ada
ketikanya baginda akan bermain dengan anak-anak kecil. Apabila kanak-kanak itu bersama
baginda, baginda akan meminta kanak-kanak tersebut berdiri sebaris menghadap baginda.
Selepas itu baginda akan duduk di satu tempat yang agak jauh sikit dari
kanak-kanak tersebut dan menghulurkan tangannya kepada mereka. Kemudian baginda
akan menyuruh kanak-kanak tersebut lari ke dakapannya. Siapa yang sampai dahulu
akan mendapat hadiah. Maka kanak-kanak tersebut akan lari sekuat-kuatnya kepada
dakapan baginda sehingga ada yang melanggar dada dan perut baginda. Selepas
itu, baginda akan memeluk mereka semua dengan penuh kasih sayang.
Rasulullah
s.a.w selalu menunjukkan rasa sayang dan cinta beliau kepada anak-anak kecil
dan baginda mengajar umatnya agar melakukan perkara yang sama. Pada zaman
tersebut, orang-orang Arab Badwi terkenal dengan sifat kasar dan keras mereka.
Mereka percaya bahawa hanya orang yang kasar dan keras sahaja dihormati oleh
kaum puak mereka. Maka mereka tidak akan menunjukkan rasa sayang mereka kepada
anak-anak mereka. Apatah lagi kanak-kanak lain. Rasulullah s.a.w. mendidik dan
mengajar orang-orang Arab Badwi ini agar menunjukkan rasa sayang dan cinta
kepada anak-anak kecil.
Ada
seorang yang bernama Al-Aqra’ bin Habis. Beliau merupakan ketua sebuah kaum.
Pada satu hari beliau mendatangi Rasulullah s.a.w dan melihat baginda mencium
cucu baginda iaitu Saidina Hassan. Maka Iqra’ pun berkata: “Aku mempunyai 10
anak tetapi aku tidak pernah mencium mereka.” Maka Rasulullah s.a.w pun
bersabda: “Sesiapa yang tidak menunjukkan kasih sayang, tidak akan mendapat
kasih sayang dari Allah s.w.t.”
Rasulullah
s.a.w selalu memberikan salam terlebih dahulu kepada kanak-kanak. Ini mendidik
mereka dan menanamkan dalam diri mereka agar bersegera memberi salam dahulu.
Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa, pernah satu ketika Rasulullah s.a.w mengutus
beliau untuk melakukan satu tugas. Dalam perjalanan, beliau berjumpa dengan
beberapa budak lelaki. Maka beliau duduk bersama dengan budak-budak tersebut.
Apabila baginda s.a.w. mendekati budak-budak tersebut, baginda dengan segera
memberikan salam kepada mereka. Peristiwa ini memberikan kesan yang mendalam
dalam jiwa Anas bin Malik r.a. Sehingga akhir hayatnya, beliau selalu bersegera
memberikan salam terlebih dahulu.
Abu
Hurairah r.a. pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda bahawa: “Cara
memberi salam adalah yang menaiki kenderaan memberi salam kepada pejalan kaki,
yang pejalan kaki memberi salam kepada yang duduk, yang sedikit memberi salam
kepada yang lebih ramai, yang muda memberi salam kepada yang tua”. Nabi
Muhammad s.a.w memulakan memberi salam kepada kanak-kanak kecil kerana sifat
baginda yang lemah lembut dan tawadhu.
Perwatakan Nabi Muhammad s.a.w jelas
menunjukkan sikap baginda terhadap generasi muda iaitu perasaan kasih sayang
dan sikap mengambil berat terhadap mereka. Walaupun setelah baginda dipilih
menjadi rasul dan pemimpin semenanjung Tanah Arab, malah pemimpin seluruh
kejadian Tuhan, baginda masih bermain-main dengan cucunya, Hassan dan Hussin,
sambil baginda merangkak di tanah. Baginda sentiasa menghormati puteri baginda,
Saidatina Fatimah r.a. hinggakan baginda akan bangun apabila Fatimah datang dan
akan terlebih dahulu mengucapkan salam kepada puterinya itu.
Menurut Aishah r.a dalam sebuah hadis
yang diriwayatkan olehnya yang bermaksud :
“Tidak pernah ku lihat seseorang yang lebih serupa
dari segi perangai, tingkah laku, dan tindakan seperti Nabi Muhammad s.a.w
dengan Fatimah. Apabila dia datang kepada baginda, baginda akan bangun
menghormatinya, menyambut tangan, mencium lalu mendudukkan Fatimah di tempat
duduk baginda sendiri. Dan apabila baginda pergi kepada Fatimah, wanita itu
akan lantas bangun dan menghormati baginda, lalu baginda memegang tangan
Fatimah, mencium dan mendudukkan beliau di sebelah tempat duduknya sendiri.” (
Al-hadith-mishkat al-masabih, oleh al-haj maulana fazlul karim jilid 1, dacca,
pakistan timur, 1960: hlm. 163 )
Baginda
juga selalu memeluk cium anak cucunya dan menyuruh kaum muslimin melakukan
sedemikian rupa. Baginda mengajar kaum muslimin bukan sahaja perlu menghormati
keturunan mereka yang masih muda tetapi juga melayan mereka dengan penuh kasih
sayang sama ada secara fizikal dan mental. Baginda menekankan bahawa anak-anak
adalah kurniaan dari Allah s.w.t kepada ibubapa. Menjadi tugas dan tanggungjawab
kedua ibubapa untuk mendidik serta membesarkan mereka selaras dengan tuntutan agama.
Baginda begitu menghormati kanak-kanak sehingga
menggelarkan kanak-kanak sebagai "mekar tuhan". Keluhuran laku Nabi
dapat pula didengar dari Imam Ali bin Abi Thalib karramallahu wajhah, sepupu
dan menantu Nabi, dan orang tidak pernah kafir seumur hidupnya. Ia pernah berkhutbah
tentang hubungannya dengan Nabi :
“Ketika
masih kanak-kanak, aku membanting dada para lelaki Arab, dan mengalahkan jaguh-jaguh
dari suku Rabi’ah dan Mudhar. Sungguh kalian mengetahui kedudukanku di sisi
Rasulullah s.a.w sebagai kerabat yang sangat dekat. Baginda meletakkanku di
pangkuannya di kala aku masih kanak-kanak, baginda merangkulku ke dadanya,
membaringkanku di tempat tidurnya, menyentuhkanku ke tubuhnya, sehingga aku
mencium aroma badannnya. Seringkali baginda mengunyah sesuatu kemudian menyuapkannya
untukku. Baginda tidak pernah berbohong dalam ucapannya terhadapku, dan tidak
pernah pula salah dalam tindakannya.
Begitu indahnya cara Rasulullah mendekati dan berinteraksi
dengan kanak-kanak. Demikian pula dengan semua ucapan dan perkataan baginda
yang memancar dari huruf-hurufnya cahaya terang yang menyingkap segala tabir
kegelapan dan memberikan petunjuk kepada jalan yang lurus. Apabila kita dapat
membentuk akhlak anak-anak kita sesuai dengan panduan yang digariskan
Rasulullah s.a.w., nescaya akan memberikan pengaruh yang sangat baik dan sekali
gus mengurangkan gejala sosial yang terjadi di dalam masyarakat hari ini.
Tidak hairanlah apabila kanak-kanak pada zaman Rasulullah s.a.w.
sangat menyayangi baginda sehingga mereka tidak segan untuk berinteraksi dengan
baginda. Perkara ini ekoran daripada pendekatan psikologi yang digunakan
Rasulullah s.a.w. berinteraksi dengan mereka yang sangat bagus.
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. adalah manusia terbaik yang
diciptakan oleh Allah s.w.t. di muka bumi ini. Sedalam mana pun kisah sejarah
yang disingkap sudah tentu tidak ditemui kehebatan insan yang bernama Muhammad
s.a.w. Sebagaimana firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Baqarah ayat 151 yang bermaksud:
“Sebagaimana
Kami telah mengutuskan kepadamu rasul diantara kamu yang membacakan ayat-ayat
Kami kepada kamu dan menyucikan kamu dan mengajarkan kamu kitab dan hikmah
(sunnah) serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui”
Razali
Saaran, 2010, Hebatnya Cara Rasulullah
Mendidik, Mustread Sdn.Bhd.,
Kuala Lumpur.
Abdul
Salam Yussof, 2003, Imam Al-Ghazali
Pendidikan Berkesan, Utusan Publications &
Distributors Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.
Dr.
Basri Ibrahim, 2009, Psikologi Rasulullah
Dalam Berinteraksi Dengan Masyarakat,
Al-Hidayah Publication, Kuala Lumpur.
Muhammad
Ali Qutb, 2009, Nasihat Rasulullah Untuk
Kanak-Kanak, Pustaka Al-Shafa,
Kuala Lumpur.
Khutbah
Jumaat, 2001, Akhlak Mulia Rasulullah
Terhadap Kanak-Kanak, Majlis Ugama Islam
Singapura.